Akademi Seni Lukis Nanyang, Singapura


Susunan Mazlan A. Karim

Sejarah Penubuhan

Safrizal Shahir (2005) menjelaskan bahawa Akademi Seni Lukis Nanyang, juga dikenali sebagai Nanyang Academy of Fine Arts ini ditubuhkan pada tahun 1938 oleh Lim Hak Tai dan rakan-rakannya merupakan institusi latihan seni halus formal yang pertama di Tanah Melayu. Kumpulan pelukis dan tenaga pengajar awal yang biasa dikaitkan dengan institusi ini ialah Lim Hak Tai, Cheong Sooi Peng, Chen Wen Hsi, Georgette Chen Li Ying, Chen Chong Swee dan Kuo Ju Ping. Kumpulan ini telah membina gelombang yang besar dalam perkembangan dan sejarah seni lukis moden Malaysia dari aspek kegiatan, pengkaryaan dan pendidikan seni. Pelbagai paparan diketengahkan oleh pelukis Akademi. Paparan tampak itu secara semangatnya amat tempatan menerusi tema lanskap dan alam benda secara nyata. Dr. Tan Chee Khuan (1994) menyifatkan Lim Hak Tai seorang yang berwawasan kerana tidak mengambil kesempatan tetapi sebagai pemangkin menerusi institusi yang ditubuhkan. 

Hassan Mohd. Ghazali (1999) mencatatkan bahawa penubuhan Akademi ini adalah antara yang terawal selepas beberapa persatuan seni lukis ditubuhkan sejak awal 1920-an.  Walaupun seni lukis di Tanah Melayu bermula sejak zaman penjajahan British tetapi kegiatan seni lukis di institusi pengajian tempatan hanya bermula dengan tertubuhnya Penang Free School pada 1816.  Selepas itu, beberapa institusi iaitu Maktab Perguruan Sultan Idris pada 1922, kumpulan Penang Impresionist di Pulau Pinang tahun 1928, Persatuan Pelukis Cina atau United Artist Malaysia tahun 1929 dan Penang Chinese Art Club tahun 1936.  Menurutnya lagi, Kegiatan pelukis Nanyang ini banyak dipengaruhi oleh lukisan-lukisan dari negara China.  Menurut Dr. Tan Chee khuan (1994), sebahagian tenaga pengajar yang awal di Akademi adalah pelukis-pelukis cina Singapura yang bergabung menerusi kumpulan Salon Art Studies Society.  Mereka mendapat pendidikan di sekolah-sekolah seni seperti Sekolah Seni Halus Shanghai, Sekolah Seni Shanghai dan Universiti Seni Shanghai. T.K. Sabapathy (1983) menyifat Akademi ini adalah pusat pendidikan formal yang pertama dalam bidang seni.  Antara pelukis-pelukis awal tanahair yang mendapat pendidikan formal di Akademi  terutamanya dalam bidang cat minyak seperti Kuo Ju-Ping, Chung Chen Sun, Lai Foong Moi, Chew Laitong, Jehan Chan, Tan Choon Ghee, Khoo Sui-Hoi and Lu Chon. 

Pembelajaran di Akademi terhenti ketika perang dunia kedua pada tahun 1941 tetapi disambung semula dan telah bertukar tempat.  Hassan Mohd. Ghazali (1999) mencatatkan bahawa Akademi ini dibuka di sebuah bilik kecil bertentangan dengan taman hiburan Gay World di Geylang, Singapura pada tahun 1937.  Setahun kemudian berpindah ke bangunan yang terletak di 93, Jln. Seranggon, Singapura.  Selepas perang kedua tamat, Akademi disambung semula pada tahun 1946 dan berpindah tempat di 49, St. Thomas Walk, Singapura.  Ketika itu, Akademik diterajui oleh Tseng Chee Dahy dan Tsi Yan Fu sebagai lembaga pengarah yang meneruskan cita-cita akademik. 




Pelukis-Pelukis Nanyang Dan Stail


Menurut Muliyadi Mahamood (2003), perkembangan awal seni cetak kontemporari tanahair boleh dirujuk kepada kegiatan seni cetak potongan kayu oleh pelukis-pelukis Akademik Seni Lukis  Nanyang di Singapura seperti Lim Yew Kuan, Chuah Mia Tee dan Tan Tee Chie.  Karya cetakan mereka telah mengambil tema atau menggambarkan suasana kehidupan masyarakat, seperti kehidupan buruh kasar, peniaga dan kehidupan penduduk di kawasan setinggan dan kampung melayu.  Menurutnya lagi bahawa tema sedemikian diambil adalah kerana disebabkan oleh prinsip seni pelukis Nanyang, kecenderungan media massa dan pengaruh seni cetakan kayu Cina.

Antara pelukis terkenal Nanyang iaitu Cheong Soo Peng yang juga salah seorang tenaga pengajar Akademi ketika itu amat aktif mempamerkan karya beliau sejak di Akademi lagi.  Syed Ahmad Jamal (1973) menyatakan bahawa stail karyanya amat mempengaruhi penuntut-penuntut sehingga mereka meniru gaya karyanya.  Ini jelas kelihatan ketika pameran-pameran seni lukis di tahun 1950-an dan awal 1960-an.  Hassan Mohd. Ghazali (1999) menyatakan bahawa kemasukan pelukis dari negara China selepas perang dunia kedua tamat seperti Cheong Soo Peng telah menjadi tenaga pengajar di situ.  Selain Cheong Soo Peng, pelukis lain iaitu Cheng Wen Shi, Madam Georgette Chen adalah merupakan tenaga pengajar yang membawa kepada pendekatan berbeza kerana berlainan latar belakang pendidikan.  Pelukis-pelukis Akademi seperti Cheong Soo Peng, Georgette Chen Li Ying, Chen Wen His dan Chen Chong Swee secara umumnya mendapat latihan di Akademi Seni di Shanghai, Kanton dan Amoy terdedah dengan pengaruh modenis Aliran Paris.  Cheong Soo Peng merupakan lepasan Akademi Seni Xiamen dan Akademi Seni Xinhua di Shanghai.  Chen Chong Swee, Chen Wen His dan Liu Kang lepasan Akademi Seni Xinhua.  Manakala Georgette Chen menuntut di Salon Paris dan Liu Kang di Academie de la Grande Chaumiere, Paris.

Mereka ini berperanan mengembangkan tradisi seni moden di Malaysia dan Singapura.  Pelukis Nanyang juga terkenal kerana menggabungkan tradisi Barat dan Timur dalam hasil karya mereka yang kemudiannya dikenali sebagai ‘Gaya Nanyang’.  Susie Koay (1994) menjelaskan ‘Gaya Nanyang’ dilihat sebagai satu gabungan gaya Barat (gaya aliran Paris) dan Timur (ciri asas lukisan cina) menerusi latar belakang pelukisnya.  Gabungan pelukis Nanyang yang berbeza latar pendidikan disebut sebagai pertembungan dua  gaya. Maka tidaklah menghairankan bahawa karya-karya pelukis-pelukis ini pada asasnya berorientasikan seni barat dan mengikut Barat dan Timur dengan bebas.  Memetik kenyataan T.K. Sabapathy yang ditulis oleh Susie Koay (1994) menyarankan agar ia dilihat sebagai satu ‘skema berupa’ yang menukarkan ‘rangsangan eksperimental dengan menggunakan gaya-gaya dan teknik-teknik yang berasal dari dua sumber: Tradisi gambaran Cina serta Aliran Paris (School of Paris).

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "Akademi Seni Lukis Nanyang, Singapura"

Post a Comment